Salam sejahtera.
Cuaca yang mendung nampak suram. Hari yang gelap seperti malam.
Malam ? Jika disebut perkataan malam, apa yang terlintas dalam fikiran anda. Gelap ? Tidur ? Wayang ? Lepak ? Rempit ? Apa ya ?
Jika ada orang sebut malam, saya gambarkan gelap, surfing dan tidur. Itulah malam dalam hidup saya.
Allah jadikan dunia ini ada siang dan ada malam. Siang untuk manusia berkerja, malam untuk manusia berehat. Ada juga sesetengah golongan beranggapan malam adalah masa untuk mereka bersiar-siar. berhibur bagi melapangkan fikiran.
Ada juga sekelompok manusia yang malamnya dihabiskan dengan merayau-rayau di internet sehingga dinihari. Kemudian tidur dan bangun pada tengah hari. Suatu kebiasaan yang luar biasa. :)
Anda bagaimana ?
Bagi umat Islam, malam adalah masa untuk mereka berehat dan beribadat. Mereka digalakkan tidur dahulu dan bangun pada dua per tiga malam untuk beribadat. Manusia perlu tidur untuk merehatkan badan dan sistem dalam badan. Setelah sistem badan pulih dan segar, bangunlah untuk beribadat. Ibadat ini disebut sebagai Qiamullail.
Bangun di tengah malam ? Oh tidak ! Aku sayang mimpi-mimpiku.
Qiamullail adalah satu bentuk pengorbanan seorang hamba kepada Penciptanya. Bangun meninggalkan tempat tidur untuk tunduk sujud menyembah Illahi. Ujian untuk ketakwaan mereka.
Anda sanggup ? Jawapannya hanya anda sahaja yang tahu.
Jika anda sanggup, alhamdulillah. Allah akan bersama anda dan memberkati hidup anda.
Jika tidak sanggup meninggalkan tempat tidur anda , beribadatlah sebelum tidur. Jangan sia-siakan malam itu tanpa sebarang ibadah dan pahala.
Baca kisah di bawah ini. Pasti anda akan teruja.
Diriwayatkan dari Abdullah; Rasulullah bersabda: "Apakah tidak mampu seseorang diantara kamu untuk membaca sepertiga Al-Quran setiap malam ?" Abdullah berkata: Adakah yang mampu melakukan itu ? Baginda menjawab, "Ya, ada. Bacalah Qul hu wal lah hu a had.
Terdapat juga hadis lain yang menyebut, Rasulullah bersabda, "Sesiapa membaca Qul hu wal lah hu a had pada malam hari, maka ia telah membaca sepertiga Al-Quran."
'Qul hu wal lah hu a had' ini merujuk kepada Surah Al-Ikhlas.
Ada satu lagi kisah yang bakal menggembirakan anda.
Abu Hurairah berkata: "Kami menuju ke suatu tempat bersama Rasulullah, kemudian baginda mendengar seseorang membaca Qul hu wal lah hu a had (membaca Surah Al-Ikhlas dengan lengkapnya). Mendengar itu Rasulullah bersabda: "Telah wajib." Aku bertanya kepada baginda, "Ya Rasulullah, apa yang telah wajib ?" Baginda menjawab, "Syurga". ( Telah wajib baginya syurga).
Wah , syurga ganjarannya . Bagaimana ? Anda masih mahu mensia-siakan malam anda !
Kisah seterusnya.
Dari sahabat Rasulullah, ia berkata: " Aku berjalan bersama Nabi, kemudian baginda mendengar seseorang sedang membaca Qul ya ay yu hal ka fi run (Surah Al Kafirun) sampai akhir." Lalu baginda bersabda: "Orang itu telah bebas dari kemusyrikan." Kemudian kami berjalan lagi dan mendengar seseorang sedang membaca Qul hu wal lah hu a had (Surah Al Ikhlas). Baginda bersabda: "Adapun orang ini, telah diampuni (dosanya)."
Allah ampuni dosa kita dengan membaca Qul hu wal lah hu a had.
Begitu besarnya nikmat yang Allah beri kepada umat Islam. Namun kita tidak sedar dan lalai. Allahu Akbar!
Kesimpulannya: apabila kita membaca Surah Al Ikhlas, umpamanya kita membaca satu per tiga Al-Quran, dimasukkan ke syurga dan diampuni dosa. Membaca Surah Al Kafirun pula akan menyelamatkan kita daripada perkara musyrik.
Masih mahu membazirkan malam anda ? Fikir-fikirkan.
Marilah sama-sama kita mengorak langkah mengubah pengisian malam kita. Mulai malam ini, kita lapangkan masa untuk membaca kedua-dua surah ini untuk masa bekalan kita di akhirat. Bacalah kerana Allah.
Cadangan saya : Mulakan dengan Surah Al Fatihah, diikuti bacaan Surah Al Ikhlas tiga kali dan Surah Al Kafirun.
Ingin menambah pahala anda ? Sharekan post ini di Facebook anda. Pahala untuk ilmu yang dimanfaatkan.
Selamat beramal.
Maafkan saya sekiranya ada yang tersinggung. Terima kasih.
MasyaAllah... sungguh besar nikmatnya apabila kita membaca Al-Qur'an. Terima kasih tuan kerana sudi memperingati saya dan memberitahu manfaat Surah Al-Ikhlas :D
ReplyDeleteAlhamdulillah , Allah beri ruang untuk saya kongsikan ilmu ini. Semoga kita memperoleh keberkatan apabila mengamalkannya. In Sya Allah.
DeleteTerima kasih atas perkongsian ini. Semoga Allah s.w.t melimpahkan syafaat dan kurniaNya yang tidak terhingga kepada Bang Long. Jazakallah.
ReplyDeleteTerima kasih kembali. Semoga kita semua memperoleh rahmatNya.
ReplyDelete